Sistem ranking baru yang bakal dilaksanakan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) bermula 1 Jan 2020 tidak semestinya memberikan kelebihan kepada pasukan Asia.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, berkata adalah terlalu awal untuk membuat andaian mengenai sistem itu kerana terdapat percanggahan maklumat.

"Ada pihak yang kata akan memberi manfaat, ada yang kata tidak kerana nak ikut seperti FIFA, semua aksi persahabatan ada mata. Tetapi saya rasa ia akan memberikan kelebihan kepada pasukan Eropah, terutama yang beraksi dalam kejohanan Liga Pro.

"Liga Pro ini mahal, bukan kami tidak boleh masuk, tapi tidak mampu… jadi kami tidak ada pilihan kerana ia sudah diputuskan FIH dan AHF (Persekutuan Hoki Asia). Saya berharap ia tidak akan mengganggu mata ranking kami.

"Perkara baik adalah kejohanan Piala Sultan Azlan Shah, dijadualkan pada April ini, akan turut mendapat mata ranking.

"Beberapa negara seperti Australia dan England sudah bersetuju untuk menyertainya, mungkin juga ada penyertaan Kanada, Jepun, dan Korea Selatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis pelancaran Kejohanan Hoki 5 sebelah (5s) Peringkat Antarabangsa Akademi Sukan UPM-Sejati-Milo di UPM, di Serdang, hari ini.

Menurut FIH, sistem kiraan baru itu lebih adil kepada semua pihak berbanding sistem kiraan lama yang diperkenalkan pada 2003 yang dianggap memberi kelebihan kepada pasukan Eropah.

Pasukan hoki lelaki Malaysia kini menduduki tangga ke-11 dunia manakala pasukan wanita di tempat ke-20.

Sementara itu, Subahan berkata mesyuarat pertama Jawatankuasa Penilaian Semula bagi mengenal pasti punca kegagalan skuad hoki wanita dan lelaki negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo akan diadakan pada 14 dan 15 Januari ini.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan menyediakan laporan terperinci kegagalan itu dalam masa dua bulan sebelum dibentang kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, pada akhir Februari.

--BERNAMA