Semua pemain skuad hoki lelaki negara hendaklah mempertingkatkan daya saing dan membina keyakinan diri ketika mengikuti siri jelajah Eropah yang bermula Khamis depan, pesan ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans.

Walaupun bakal berdepan dengan beberapa perlawanan sengit dalam siri jelajah tersebut, namun beliau menuntut semua pemain menampilkan aksi terbaik masing-masing sebelum berdepan ujian sebenar dalam pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020, November ini.

”Saya sudah menyatakan beberapa kali sebelum ini bahawa kekalahan akan berlaku lebih daripada kemenangan sempena siri jelajah ini tetapi mahu memastikan bahawa kami sentiasa berdaya saing untuk memperoleh keputusan yang baik.

“Sebab itu siri jelajah ini begitu penting,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam sesi latihan skuad Malaysian Tigers di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Skuad negara seramai 20 pemain akan berlepas ke Eropah, Ahad ini, untuk mengadakan aksi persahabatan menentang Jerman di Krefeld, Khamis depan, sebelum ke Terassa bertemu Sepanyol, empat hari kemudian.

Selepas itu, skuad negara akan bermain dalam Kejohanan Empat Penjuru dengan England, Ireland dan Sepanyol dari 1 hingga 4 Ogos, disusuli aksi persahabatan bertemu Belanda di Breda (6-8 Ogos) sebelum melengkapkan jelajah Eropah menentang juara Piala Dunia 2018, Belgium, di Antwerp (9-12 Ogos).

Selepas ke Eropah, Malaysian Tigers akan menguji venue Sukan Olimpik 2020 di Tokyo menentang Jepun, Australia dan New Zealand dari 19 hingga 23 Ogos sebelum mengharungi persiapan terakhir, iaitu menentang Korea Selatan di Seoul pada penghujung September.

Antara pasukan yang mungkin bakal dihadapi skuad negara dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 terdiri daripada Jerman, Sepanyol, New Zealand atau Kanada.

Sementara itu, pakar ‘flick’ skuad negara, Muhammad Razie Abdul Rahim, berkata mereka menjalani latihan keras sepanjang tiga minggu lalu, terutama daripada segi pukulan sudut penalti dan berharap ia dapat memberi kelebihan ketika siri jelajah itu.

”Walaupun prestasi penyerang bertambah baik daripada segi melakukan jaringan padang, namun kami harap dapat mengimbangi jaringan menerusi lebih banyak percubaan jaringan (menerusi gerakan pukulan) sudut penalti,” katanya.

Sementara itu, penyerang Mohammad Fitri Saari, menggesa pasukan itu supaya tidak bergantung kepada beberapa pemain sahaja dalam perlawanan, sebaliknya belajar daripada kesilapan dan berusaha dengan lebih baik sebagai sebuah pasukan.

-- BERNAMA