Penyerang hoki negara, Shahril Saabah dan Faizal Saari, akan mengetuai gerakan pukulan sudut penalti ekoran ketiadaan Muhammad Razie Abd Rahim menjelang Festival Hoki Antarabangsa Melbourne, Australia, bermula Rabu depan.

Shahril dan Faizal akan menggalas tugas besar di Melbourne.

Mereka diletakkan sebagai mesin penjaring gol negara apabila Razie tidak mendapat pelepasan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerana masih menjalani kursus latihan asas inspektor polis.

Gerakan itu menghasilkan 10 gol ketika Malaysia meraih tangga ketiga Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan, Pahang, tiga minggu lalu.

"Saya sudah lama menjadi fliker, jadi untuk menjadi fliker nombor satu atau dua ia tidak penting kerana saya dan Faizal sudah lama menjadi fliker dan kami akan mengikut arahan yang coach berikan," jelas Shahril.

Dalam pada itu, Faizal berharap dia mampu untuk mendapatkan kembali rentak jaringan gol seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini.

"Saya sudah semakin mendapat rentak untuk menjaringkan gol. Saya berharap saya akan mendapat rentak seperti dahulu dalam menghasilkan jaringan, dengan sokongan yang diberikan oleh rakan sepasukan," ujar Faizal.

Antara kedua-dua pemain itu, Shahril lebih tajam ketika pukulan sudut penalti, apabila menjaringkan tiga gol di Kuantan, sementara Faizal, satu gol.

Namun, ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen, tidak menentukan siapa yang akan menjadi pakar utama untuk menghadapi New Zealand, India dan tuan rumah, Australia.

Skuad hoki negara menamatkan sesi latihan terakhir di Stadium Hoki Kuala Lumpur, sebelum berangkat ke Melbourne, esok.