Biarpun sudah mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa, bekas pejaga gol hoki negara, S. Kumar, masih mampu memainkan peranan dalam pembangunan hoki selaku pembimbing kepada barisan penjaga gol masa depan skuad negara.

Berbekalkan 323 penampilan di pentas antarabangsa, pengalaman selaku penjaga gol negara sukar ditandingi mana-mana pemain.

Namun, sudah pasti bekas benteng akhir The Malaysian Tigers kelahiran Tampin itu mempunyai kaedah tersendiri untuk mencurahkan ilmu kepada anak didiknya dalam skuad remaja kebangsaan selepas ini.

Secara tidak lansung, ia dapat merintis kemungkinan buat barisan negara untuk menghasilkan seorang lagi penjaga gol berkualiti pada masa akan datang.

"Penjaga gol yang lain perlu diberi peluang kerana kami khuatir akan ketandusan pemain berkualiti.

"Sekarang adalah masa yang sesuai untuk kami menggunakan khidmat pemain muda agar mereka dapat menonjol di peringkat antarabangsa," kata bekas penjaga gol hoki kebangsaan, Roslan Jamaluddin, kepada wakil Nadi Arena, Wan Muiz Wan Aziz, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Dalam pada itu bekas pengendali skuad kebangsaan, Dhaarma Raj Abdullah, menghargai pengorbanan bekas pemain berumur 41 tahun itu, yang mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa semalam, sambil menyambut baik keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dengan melantiknya selaku salah seorang jurulatih skuad hoki remaja negara.

""Tidak pernah ada pemain yang mewakili Malaysia dalam tempoh yang lama serta beraksi cemerlang.

"Dia banyak berkorban.

"Dia seorang pemain yang patut diberi layanan sedikit istimewa," kata Dhaarma.