Bekas pemain hoki negara, S. Selvaraju, gembira dengan tindakan berani pemain kebangsaan menyertai Liga Oman membuahkan hasil apabila perlawanan akhir menyaksikan dominasi enam wakil dari Malaysia.

Penampilan pemain dari Malaysia dalam Liga Hoki Oman, jelas mencuri tumpuan, dengan kelab An-Nasr yang diwakili pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim, penyerang,
Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil dan bekas pemain tengah remaja kebangsaan, Mohd Rafizul Ezri, berjaya muncul juara.

Lebih menarik, mereka menewaskan Al-Seeb yang turut diwakili tiga pemain dari Malaysia yang diketuai perancang utama The Malaysian Hockey Tigers, Fitri Saari, dalam final.

Beberapa kelab Arab dikhabarkan sudah membuat persiapan awal untuk memancing pemain Malaysia menjelang saingan liga domestik negara mereka.

"Prestasi mereka telah membuktikan pemain-pemain Malaysia mampu menghasilkan kejayaan di luar negara dan nama hoki Malaysia naik dan lebih dikenali di peringkat antarabangsa," kata Selvaraju.

Selvaraju sudah menyarung jersi 13 kelab luar negara, sekali gus memegang rekod pemain Malaysia paling banyak menyertai liga asing.

Menjelang Liga Hoki Malaysia (LHM), pemain kelahiran Ipoh, Perak ini akan mengetuai jentera serangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sambil dibantu enam pemain import.

"UniKL mahu melakar kejuaraan bagi saingan musim depan, saya berharap kepada setiap pemain dapat bekerjasama untuk mencapai sasaran ini," ujarnya.