Saya jangkakan aksi yang lebih baik -- Wallace

Oleh Staff Writer 2 Disember 2016 1
Saya jangkakan aksi yang lebih baik -- Wallace

Jurulatih skuad pembangunan hoki negara, Wallace Tan, belum berpuas hati dengan kekuatan anak buahnya walaupun berjaya menewaskan pasukan wilayah China, Inner Mongolia, 3-1 dalam aksi persahabatan menjelang Piala Dunia Remaja 2016.

Ini perlawanan pertama skuad pembangunan hoki negara selepas meraih tangga kelima Piala Sultan Johor, bulan lalu.

Wallace menurunkan 18 pemain yang terpilih ke Lucknow, India untuk melihat kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum berlepas Isnin ini.

Suku pertama, tuan rumah bermain secara berhati-hati menentang lawan yang dibarisi beberapa bekas pemain kebangsaan China.

Malaysia memecah kebuntuan pada suku kedua apabila pertahanan, Najmi Farizal Jazlan, meledak gol pembukaan.

Memasuki suku ketiga, pemain pertahanan, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan, meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa.

Inner Mongolia cuba bangkit menerusi jaringan Cu Chiao, namun kedudukan itu tidak kekal lama.

Najmi melengkapkan kemenangan Malaysia menerusi pukulan sudut penalti untuk mengesahkan kemenangan 3-1.

Bagaimanapun, Wallace belum cukup berpuas hati dengan prestasi pemain.

"Saya hanya mahu lihat prestasi pemain, terutamanya mencari bahagian yang perlu diperbaiki ,sama ada di jentera serangan atau pertahanan.

"Saya nampak ada kemajuan dalam perlawanan ini, cuma ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki lagi.

"Sebagai jurulatih, sudah tentu saya mengharapkan lebih daripada yang sepatutnya," ujar Wallace.

Sementara itu, pengendali Inner Mongolia, Chui Biao, mengagumi prestasi pemain negara meskipun menjalani persiapan dalam tempoh singkat.

"Ada beberapa pemain yang berkualiti dalam skuad Malaysia. Saya lihat mereka sudah bersedia untuk ke Piala Dunia Remaja walaupun persiapan dilakukan dalam masa singkat.

"Saya mahu mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen