Penyerang Terengganu Hockey Team (THT), Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, menyahut cabaran jurulatih negara, Stephen van Huizen, untuk merampas semula tempat dalam jentera serangan apabila dipanggil menyertai kem latihan kebangsaan.

Selepas setahun meninggalkan skuad negara, Tengku Ahmad Tajuddin menganggap cabaran itu sebagai satu penghormatan diberikan jurulatih terhadapnya.

"Ia sebagai penghormatan kepada saya untuk membantu skuad kebangsaan. Saya datang bukan hanya menyertai pasukan kebangsaan tetapi untuk mencurahkan pengalaman yang saya ada kepada pemain-pemain remaja.

"Di samping itu, ia juga satu cabaran kepada pemain-pemain muda untuk mengatasi saya kerana bukan jaminan buat saya untuk terus berada di dalam pasukan ini," katanya.

Selepas menyaksikan aksi skuad negara sebagai penonton dalam beberapa kejohanan, Tengku Ahmad Tajuddin diminta mengulas mengenai aspek yang perlu dipertingkatkan dalam skuad van Huizen, terutamanya di bahagian serangan.

"Saya melihat mereka memerlukan pengalaman beraksi lebih lama di peringkat antarabangsa.

"Jadi, kedatangan saya di sini adalah untuk cuba membantu di bahagian itu," katanya.

Tengku Ahmad Tajuddin membuat penampilan pertama bersama skuad negara pada 2005 ketika menyertai Kejohanan Hoki Remaja Dunia pada tahun itu.