Bekas jurulatih hoki negara, Sarjit Singh, membina reputasi baru di Johor dengan ujian sulung Piala Razak, bermula Jumaat ini selepas lima tahun mencipta gemilang bersama Terengganu Hockey Team (THT).

Sarjit dianggap jurulatih terbaik dalam sejarah hoki Terengganu kerana sepanjang tempoh lima tahun pimpinannya, THT berjaya menjulang empat Piala TNB, empat kejuaraan liga selain deretan Piala Sumbangsih dan Piala Tan Sri P. Alagendra.

Bagaimanapun, bekas pengendali negara itu mengambil keputusan berhijrah ke negeri kelahirannya untuk membina pasukan baru menjelang Liga Hoki Malaysia (LHM), Januari depan.

Tetapi, ujian sulungnya adalah Piala Razak, dengan Johor menurunkan majoriti pemain Sukan Malaysia (Sukma) Perak.

"Saya telah bersama Terengganu selama lima tahun. Saya kini bersama pasukan Johor dan membentuk sebuah pasukan baru untuk menghadapi saingan LHM," kata Sarjit.

Sepanjang mengendalikan THT, Sarjit berjaya mendapatkan pemain import berkualiti seperti pakar sudut penalti terbaik dunia, Gonzalo Peillat dari Argentina.