Bekas penyerang hoki kebangsaan, Rodhanizam Mat Radzi, bimbang Malaysia akan hilang beberapa jurulatih tempatan berkaliber yang berhijrah ke luar negara ekoran tindakan penamatan kontrak oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), 31 Disember ini.

Seramai tujuh jurulatih tempatan ditamatkan kontrak berdasarkan penstrukturan semula KHM dan berdasarkan sistem itu, semua pengendali terbabit akan tamat kontrak hujung bulan ini sebelum prestasi mereka dinilai semula.

Mereka perlu memohon semula untuk ditemu duga dengan lantikan baru yang dijangka pada Mac tahun depan, sekali gus menyaksikan mereka yang terjejas tidak akan mendapat gaji selama tiga bulan.

Situasi itu dilihat meningkatkan potensi dan membuka ruang buat jurulatih yang terlibat untuk menyertai negara lain.

"Mungkin ini satu kehilangan buat sukan hoki Malaysia. Semua tahu sebelum ini skuad hoki dalam dewan wanita mencapai sasaran merampas pingat emas daripada Thailand. Apakah perancangan KHM untuk barisan jurulatih ini?" katanya.

"Ada kenyataan daripada KHM bahawa ada kemungkinan mereka akan fokus kepada pecahan yang lain seperti skuad lima sebelah atau hoki dalam dewan. Ia boleh membuka ruang atau peluang untuk jurulatih di Malaysia untuk mendapatkan tempat."