Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengumumkan secara rasminya bahawa Paul Revington kembali menyertai badan induk itu, kali ini dengan jawatan yang berbeza yang menyaksikan beliau bertindak sebagai pengarah teknikal pembangunan dan Skuad Projek Khas KHM.

Beliau akan bekerja rapat dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan KHM, Prof. Datuk Dr. S. Shamala, dan barisan ahli jawatankuasa termasuk jurulatih Skuad Projek Khas KHM, Wallace Tan, selain Nasihin Nubli Ibrahim akan turut bekerjasama dengannya.

“Saya membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia kerana percaya ia satu peluang baik buat saya memulakan semula kehidupan di Malaysia dan kembali menghabiskan beberapa perkara yang sebelum ini saya tidak dapat melunaskan ketika bersama pasukan Malaysia.

“Tugas yang akan saya pikul jelas sekali adalah untuk memupuk perkara-perkara yang penting bagi seorang pemain hoki dengan bermulanya daripada peringkat akar umbi.

“Antaranya termasuk untuk menanam mentaliti sebagai seorang pemain yang turun ke padang bukan hanya bermain hoki tetapi untuk mencari kemenanga, mentaliti untuk menang.

“Apabila tiba masanya untuk mereka menyertai pasukan kebangsaan, mereka adalah pemain yang telah mempunyai mentaliti tersebut dan tidak perlu lagi untuk diterapkan dengan perkara-perkara seperti itu,” jelasnya.

Sesi latihan rasmi hari pertama pada Isnin, 5 Oktober oleh skuad hoki lelaki kebangsaan kendalian Arul Selvaraj di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. #MalaysianHockey #TheSpeedyTigers #MyHockey

Posted by Malaysian Hockey Confederation on Monday, October 5, 2020


Dalam sidang media yang berlangsung di ibu pejabat KHM, Bukit Jalil, hari ini, Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, turut mengumumkan pelantikan pengurus Skuad Projek Khas Wanita dengan bekas ketua pasukan kebangsaan, Siti Noor Amarina Ruhani, diberikan kepercayaan untuk menyandang jawatan itu.

Subahan turut percaya pelantikan Siti Amarina adalah satu keputusan yang tepat berdasarkan pengalaman yang dimilikinya bersama pasukan kebangsaan pastinya dapat membantu Nasihin untuk mengangkat skuad wanita ke satu tahap yang lebih baik.

Selain itu, pengurus bagi Skuad Projek Khas Lelaki juga turut diumumkan dengan bekas pemain kebangsaan, I. Vikneswaran, yang turut mempunyai pengalaman sebagai jurulatih dilantik untuk bergandingan bersama Wallace Tan serta Megat Azrafiq Tarmizi dan pelantikan tersebut berkuat kuasa serta merta.