Pengarah Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, menganggap rekod bersih S. Kumar sebagai kriteria utama yang menjadi rujukan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dalam sesi pendengaran.

Katanya, tiada jaminan hukuman dua tahun yang dihadapinya dapat dikurangkan kerana segala-galanya bergantung kepada hujah dalam sesi pendengaran yang dijangka diadakan bulan depan.

Jelasnya, rekod bersih pemain berpengalaman itu sepanjang bersama skuad kebangsaan menerusi 295 penampilan, adalah antara rujukan utama yang akan dinilai FIH selain ujian doping terdahulu yang pernah dijalaninya.

"Saya rasa yang paling baik untuk Kumar tentu sekali adalah pengurangan daripada dua tahun. Ini adalah satu perkara yang diharapkan tetapi ia masih perlu dipertimbangkan oleh FIH dan KHM (Konfederasi Hoki Malaysia)," katanya.

Kumar didapati positif bahan jenis sibutramine yang biasa terdapat dalam pil menguruskan badan dalam Piala Asia di Dhaka, Bangladesh pada Oktober lalu dan berdepan hukuman penggantungan dua tahun.

Ia menyusul selepas dua kes membabitkan nama besar dalam arena sukan negara tahun ini, iaitu Mohd Hafifi Mansor dan penerjun negara, Ng Yan Yee. Malah, Kumar dikesan mengambil bahan terlarang, sibutramine, sama seperti Yan Yee.