Razie dan Nabil bawa impak positif kepada pasukan -- Sukri

Oleh Staff Writer 18 Oktober 2016 5
Razie dan Nabil bawa impak positif kepada pasukan -- Sukri
Pemain pertahanan, Sukri Mutalib, kekal selaku kapten hoki negara di sebalik kepulangan semula Muhammad Razie Abd Rahim menjelang aksi sulung Trofi Juara-Juara Asia menentang Pakistan, Khamis ini.

Sukri percaya kehadiran Razie dan Nabil Fiqri, yang menjadi tulang belakang kepada skuad hoki negara selama ini, bakal menambahkan lagi kekuatan pasukan bagi menghadapi saingan Trofi Juara-Juara Asia.

"Impak yang dibawa oleh Razie dan juga Nabil sememangnya positif kerana selama ini mereka merupakan tunjang kepada kekuatan pasukan hoki negara.

"Dalam aksi persabahatan, kami tidak menggunakan sepenuhnya taktikal permainan. Kami hanya bermain untuk mendapatkan tempo serta suasana perlawanan.

"Dalam masa yang sama, kami juga mahukan Razie dan Nabil mendapat kembali kecergasan mereka sebagai persediaan menghadapi Trofi Juara-Juara Asia," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai ujian pertama bertemu Pakistan dengan kehadiran Nabil dan Razie, Sukri berkata dia mengharapkan kelibat kedua-dua pemain tersebut bakal memberikan impak positif buat pasukan.

"Saya mengharapakan mereka mampu untuk memberikan sesuatu kepada pasukan. Seperti Razie, dia mempunyai kepakaran untuk menjaringkan gol daripada pukulan sudut penalti manakala Nabil banyak membantu dari segi serangan dari bahagian tengah.

"Saya mengharapkan mereka bakal memberikan impak yang positif kepada pasukan ketika bertemu Pakistan nanti," kata Sukri. 

Dalam pada itu, penyerang hoki negara, Firhan Ashaari, dan penjaga gol hoki, S. Kumar, melontarkan pandangan betapa kehadiran kedua-dua pemain tersebut sangat penting bagi pasukan.

"Razie dan Nabil merupakan pemain yang penting buat pasukan. Kehadiran mereka berdua akan menambah lagi kebaikan buat pasukan. Jika saya bermain dengan Razie dan Nabil, ia bakal memudahkan lagi tugas saya dalam pasukan," ujar Firhan.

"Razie sangat penting ketika bertahan dan ketika situasi pukulan sudut penalti. Nabil pula sangat penting kepada bahagian tengah. Kelibat mereka bakal menaikkan lagi keyakinan pasukan untuk beraksi dengan cemerlang," tambah Kumar.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen