PSAS: Skuad hoki kebangsaan intai aksi final 

Oleh Staff Writer 2 Mac 2019 192
PSAS: Skuad hoki kebangsaan intai aksi final 
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menetapkan perlawanan akhir sebagai sasaran buat ketua jurulatih hoki Malaysia, Roelant Otlmans, menjelang kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2019, 23 Mac ini.

Oltmans dijangka akan mengumumkan senarai 28 pemain yang akan dibawa menjalani kem latihan
pusat di Kuantan, Pahang, sejurus tamat Piala TNB hari ini. 

Sasaran ke final dianggap realistik berikutan ketiadaan juara bertahan, Australia, dan beberapa
pasukan Eropah, sebaliknya Malaysia akan menjadi pasukan ketiga terkuat daripada segi ranking
selepas India dan Kanada.

"Sudah tentu ahli lembaga pengarah KHM menuntut skuad kendalian Oltmans mara ke final.

"Sama ada suka atau tidak, itulah sasaran minimum yang ditetapkan. 

"KHM bukanlah sengaja meletakkan tekanan kepada pasukan kebangsaan, malah KHM telah cuba memenuhi segala tuntutan Oltmans. 

"Pasukan kebangsaan perlu berada di landasan tepat menjelang kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020," ujar Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Mesyuarat Lembaga Pengarah Eksekutif KHM hari ini juga telah mengumumkan Stadium Hoki
Nasional, Bukit Jalil yang sebelum ini menjalani pengubahsuaian akan sedia digunakan sempena lima siri perlawanan persahabatan membabitkan skuad wanita negara dengan India, bermula 4 April depan.

"Kami bekerjasama rapat dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berkenaan pemilihan permukaan padang di Bukit Jalil yang akan digunakan. 

"Wakil-wakil yang berkaitan sedang berada di Belanda bertujuan melihat sendiri kilang pembuatannya," kata Subahan. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen