Skuad hoki Argentina tampak tidak terkesan walaupun kini dipimpin jurulatih baru, Rolando Rivero, dan bersedia untuk meneruskan rekod tanpa kalah dalam Piala Sultan Azlan Shah 2018 apabila bakal melakukan perhitungan dengan tuan rumah, Malaysia, malam ini.

Skuad "Los Leones" masih merasai kehilangan bekas jurulatih prolifik, Carlos Retegui, yang secara tiba-tiba meletakkan jawatan pada 19 Februari lalu, yang membolehkan posisi itu kini disandang Rivero selaku pembantu sebelum ini.

Dia cuba mengekalkan ramuan yang telah digarap Retegui sejak membentuk pasukan itu pada 2013.

Biarpun baru sahaja menjawat jawatan itu, Rivero memacu Argentina untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah apabila membenam India 3-2 dalam perlawanan pembukaan sebelum seterusnya membelasah Ireland 5-3.

“Kami memang rasa sedih dengan ketiadaan Retegui kerana lima tahun kami sudah bersama dan pelbagai kejayaan sudah dikecapi.

"Memang dia tiada di sini bersama kami, namun situasinya tak banyak berbeza dan kami tetap akan mengharungi semuanya sebagai satu pasukan,” ujar Rivero.

Berbicara mengenai pasukan Malaysia dalam pertemuan malam ini, Rivero tidak memandang mudah cabaran The Malaysian Hockey Tigers kerana sedar tuan rumah pasti mempunyai kekuatan dalam melancarkan serangan balas di samping berbekalkan beberapa pakar dalam pukulan sudut penalti seperti Faizal Saari dan Razie Abd Rahim.

Rivero juga meramalkan barisan pemain Malaysia akan mencuba sedaya-upaya untuk menghalang percubaan daripada pemain harapannya, Gonzalo Peillat, bagi menjaringkan gol hasil pukulan sudut penalti, namun menegaskan anak buahnya juga mempunyai pemain lain seperti Juan Gilardi dan Lucas Villa untuk mencetak jaringan.

“Peillat memang bagus. Kami jaringkan lapan gol ketika ini dan enam daripadanya hasil sumbangannya tetapi saya rasa selain dia, kami juga sedang mencuba kombinasi pemain lain dan kita tengok bagaimana hasilnya dalam pertemuan menentang Malaysia.”