Ketua jurulatih hoki negara, Roelant Oltmans, memanfaatkan penundaan tarikh Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2020, dengan merangka beberapa program persediaan untuk membentuk skuad yang lebih ampuh.

Pengendali berasal dari Belanda itu menganggap tempoh enam bulan merupakan peluang terbaik buat mereka melakukan persiapan rapi apatah lagi musim ini Oltmans menyenaraikan ramai muka baharu menyertai kem latihan.

Skuad hoki negara akan meneruskan latihan sehingga saingan Piala Sultan Azlan Shah bermula 24 September depan dan bakal menghadapi beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa.

"New Zealand dan Pakistan bercadang untuk ke Malaysia sebagai destinasi persiapan menghadapi Sukan Olimpik Jun ini dan bulan berikutnya, kami akan ke Sepanyol untuk menyertai kejohanan di sana," kata Oltmans.

Oltmans akan melepaskan lapan pemain muda bagi menyertai skuad remaja negara untuk menghadapi Kejohanan Piala Remaja Asia Lelaki 2020 di Bangladesh, Jun depan.

Dia berharap ia akan menjadi platform pendedahan terbaik buat mereka bersedia menggalas tanggunjawab lebih berat bersama skuad utama nanti.

"Kami perlu memastikan setiap pemain meraih pengalaman sebanyak mungkin untuk beraksi di pentas antarabangsa."