Pakistan melengkapkan senarai tujuh pasukan dalam Kejohana Piala Sultan Azlan Shah 2018, sekali gus membuka peluang buat skuad kendalian Stephen Van Huizen menyelamatkan maruah dalam saingan membabitkan gergasi dunia, Mac depan.

Persatuan Hoki Perak yang bertindak selaku penganjur menerima permohonan Pakistan pada saat-saat akhir.

Ini bermakna tujuh pasukan melengkapkan cabaran yang turut membabitkan pasukan ranking pertama dunia, Australia, pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Argentina, India, England,
Ireland dan tuan rumah, Malaysia.

Situasi ini meningkatkan keyakinan Van Huizen untuk mencabar, sekali gus mengelak tangga tercorot dalam edisi ke-28 ini.

"Kami mahu mengejutkan pasukan yang berada pada ranking yang lebih tinggi daripada kami. Kami memiliki sasaran dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah," kata Van Huizen.

"Ia merupakan satu peluang yang sangat baik berdepan lawan yang lebih berkualiti daripada kami. Kami akan berusaha untuk mengakhiri saingan di atas lawan yang berada di ranking yang lebih tinggi," kata pemain tengah hoki negara, Joel Samuel Van Huizen.

Malaysia tidak pernah menjuarai Piala Sultan Azlan Shah, dengan pencapaian terbaik mereka adalah muncul naib juara sebanyak lima kali di samping meraih tangga kelima musim lalu.

Kem latihan skuad negara ditamatkan Jumaat lalu untuk kelab membuat persiapan menghadapi Liga Hoki Malaysia (LHM), bermula 3 Januari ini.