Program Podium 2018 yang diumumkan hari ini menyaksikan penambahan 39 atlet baru, sekaligus menjadikan keseluruhan seramai 146 atlet disenaraikan.

Antaranya, dua atlet olahraga, Irfan Shamsuddin dan Mohd Hakimi Ismail, namun tiada nama jaguh 100 meter negara, Khairul Hafiz Jantan.

Sebelum ini, olahraga hanya mempunyai Nauraj Singh dalam Program Podium, kini atlet lempar cakera, Irfan, dan jaguh lompat kijang, Hakimi, turut terpilih untuk program berkenaan.

Begitupun, atlet terpantas Asia Tenggara serta pemegang rekod 100 meter kebangsaan, Khairul Hafiz, masih gagal untuk meyakinkan panel pemilihan program itu.

"Mengikut catatan terbaik 100m Khairul Hafiz (10.18 saat), dia menduduki tangga kesembilan terbaik Asia sementara dalam Sukan Komanwel di ranking ke-60.

"Untuk 200m pula, dia berada di kedudukan ke-18 Asia dan Komanwel, 36.

"Kalau dia dalam kalangan enam hingga 10 terbaik menerusi program jurulatih dan sains sukan yang diberikan, mungkin dia mampu melonjak ke ranking yang lebih tinggi," kata Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Selain olahraga, dua atlet boling tenpin, Natasha Roslan dan Ahmad Muaz Fishol, turut disenaraikan.

Badminton menyaksikan 12 pemainnya dikekalkan di sebalik prestasi kurang meyakinkan pemain kebangsaan musim ini, terutama gandingan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong yang kini dipisahkan.

V Shem kini bergandingan dengan Ong Yew Sin manakala Wee Kiong bersama Teo Ee Yi.

"Dalam tempoh enam bulan akan datang, prestasi mereka akan dinilai semula. Mungkin ada atlet yang akan digugur atau disenaraikan pula," katanya lagi.

Sasaran Program Podium 2018 ialah menduduki 10 tempat teratas dalam kalangan negara yang bersaing dalam Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018.

Gimnastik berirama yang menyerlah dalam Sukan SEA Kuala Lumpur turut menyaksikan penambahan seorang lagi atlet, iaitu Izzah Amzan dan atlet wusyu, Yeap Wai Kin, serta dua atlet para daripada sukan badminton (Didin Terasoh) dan berbasikal (Afiq Afify Rizan).

Sementara itu, prestasi cemerlang skuad hoki lelaki kebangsaan menyaksikan mereka diterima masuk dalam Program Podium selain penembak, Johnathan Wong, yang kembali tersenarai.

Skuad hoki kendalian Stephen Van Huizen konsisten sepanjang 2017 apabila muncul naib juara Piala Asia meskipun sudah menempah tiket ke Piala Dunia selepas menduduki tempat keempat dalam saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu.

Secara tidak langsung, ia memberi gambaran pingat emas Sukan Asia adalah sasaran realistik buat mereka.

"Skuad hoki lelaki negara diletakkan sasaran untuk memenangi Sukan Asia dan sekaligus layak ke Sukan Olimpik 2020," kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Dalam masa sama, Abdul Azim turut menjelaskan mengapa sepak takraw tetap berada dalam Program Podium biarpun hanya meraih dua emas menerusi acara chinlone dan antara regu dalam Sukan SEA 2017.

"Ini kerana kami yakin sepak takraw mampu membawa pulang pingat dalam Sukan Asia.

"Mereka akan diberikan program spesifik sehingga temasya pada Ogos itu nanti," katanya lagi.