Bekas kapten skuad hoki lelaki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, menganggap The Malaysian Hockey Tigers membuat keputusan tepat berdepan Perancis dalam aksi pemanas badan terakhir, Isnin ini, sekali gus meraih persiapan lebih baik berbanding edisi Piala Dunia empat tahun lalu.

Skuad kendalian Roelant Oltmans itu akan menguji Perancis di Bhubaneswar, India bagi melengkapkan 33 perlawanan sebelum mencabar Piala Dunia 2018.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding Piala Dunia 2014 di mana Malaysia menamatkan cabaran di tangga tercorot.

Malah, aksi menentang Perancis dilihat keputusan tepat kerana pasukan di ranking ke-20 dunia itu juga turun sebagai bukan pilihan.

"Pasukan lain sebenarnya tidak boleh memandang ringan keupayaan Perancis. Apa yang penting, aksi menentang Perancis nanti, kalau boleh pemain perlu mengelakkan kecederaan," kata Mirnawan.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menetapkan sasaran 10 negara terbaik.

Kapten, Sukri Mutalib, dan rakan sepasukan mampu mencapai sasaran itu jika meraih sekurang-kurangnya tangga ketiga Kumpulan D yang membabitkan Belanda, Pakistan dan Jerman.

"Menentang Pakistan, Malaysia berpeluang tetapi tidak boleh memandang mudah cabaran mereka.

"Berdepan Belanda dan Jerman, jika dapat meraih satu mata juga dilihat sebagai satu pencapaian yang baik."