PKS UNITEN mengesahkan status selaku pasukan terunggul dalam saingan Piala Vivian May Soars 2020 selepas menewaskan Hockademy KL 2-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

PKS terlebih dahulu meledakkan gol pembukaan menerusi Nor Adilah Abdul Malik pada minit ke-11 dan walaupun Hockademy melancarkan serangan bertali arus, benteng PKS UNITEN jelas ampuh untuk memastikan gawang tidak bocor.

Namun, usaha Hockademy akhirnya membuahkan hasil apabila menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Ashley Keith pada minit ke-39.

Tidak lama kemudian, PKS UNITEN kembali di depan hasil jaringan padang Nur Zafirah Aziz sekali gus memastikan Hockademy hampa susulan kekalahan 2-1 di pentas akhir.

"Pemain telah menunjukkan strategi yang begitu baik, di mana apabila kami dalam separuh akhir, mereka telah menunjukkan kebolehan masing-masing. Alhamdulillah, hari ini mereka menunjukkan taring mereka," kata pengendali PKS UNITEN, Lailin Abu Hassan.

"Kami ada banyak peluang tetapi tidak sudahkan. Kalau mahu menang, perlu pastikan ia berhasil. Jika tidak, tiada apa boleh dilakukan," ujar ketua jurulatih Hockademy, Iman Gobinathan.

PDRM Blue Warriors mengakhiri saingan di tempat ketiga selepas menewaskan Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) 2-1.