Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2020 bakal menjadi kejohanan pertama yang akan dilangsungkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) selepas arena sukan negara terpaksa membatalkan semua kejohanan ekoran penularan wabak Pandemik Covid-19.

Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bakal menjadi venue rasmi kejohanan yang dijadualkan bermula pada 18 hingga 26 September 2020 dengan 15 pasukan lelaki dan 11 pasukan wanita telah mengesahkan penyertaan mereka bagi edisi kali ini.

Edisi 2020 akan menyaksikan hanya Sarawak tidak akan menyertai kejohanan bagi kategori lelaki sementara bagi kategori wanita pula, kelibat pasukan daripada Johor, Sabah, Melaka, Perlis dan Kelantan tidak akan kelihatan.

Ini sekaligus menyaksikan bagi kategori lelaki, pasukan akan dipecahkan kepada empat kumpulan dengan Kumpulan A akan diisi oleh tiga pasukan sementara Kumpulan B, C dan D akan diisi oleh empat pasukan.

Bagi kategori wanita pula, Kumpulan A akan diisi oleh lima pasukan sementara Kumpulan B akan menyaksikan persaingan daripada enam pasukan.

Bagi pendaftaran pemain, pasukan diberikan masa sehingga seminggu sebelum kejohanan bermula untuk mereka menghantar senarai pemain yang akan bersaing dengan kejohanan kali ini menyaksikan tiada had umur ditetapkan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh menzahirkan rasa berterima kasih kepada semua pasukan yang mengambil bahagian pada kejohanan kali ini.

“KHM telah menerima pengesahan daripada 15 pasukan dan Sabah merupakan pasukan terbaru menyertai kejohanan bagi kategori lelaki setelah sekian lama.

“Bagi kategori wanita pula 11 pasukan telah mengesahkan penyertaan di mana Kedah, Negeri Sembilan dan Sarawak antara pasukan terbaru menyertai kejohanan kali ini.

“Saya berterima kasih kepada pasukan yang mengambil bahagian dan mengalu-alukan mereka. Semoga selepas ini setiap kejohanan yang dijalankan oleh KHM akan terus disertai oleh semua pasukan negeri,” jelasnya kepada pemberita selepas tamat Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan kali kelima yang berlangsung hari ini.