Piala Tun Abdul Razak: Syed Syafiq azam kukuh reputasi pakar pukulan sudut penalti 

Oleh Shaiful Shamsudin 25 September 2020 127
Piala Tun Abdul Razak: Syed Syafiq azam kukuh reputasi pakar pukulan sudut penalti 
Tonggak hoki Perak, Syed Syafiq Syed Cholan, muncul penjaring terbanyak pasukannya dalam kempen Piala Tun Abdul Razak 2020 dengan keempat-empat gol itu terhasil menerusi ledakan pukulan sudut penalti.

Biarpun sukar untuk mencabar Faizal Saari yang kini jauh mendahului dengan 16 gol, Syafiq membawa misi tersendiri untuk membantu Perak menjulang kejuaraan kesembilan Piala Tun Abdul Razak selain berhasrat membuka mata pengendali kebangsaan, Arul Selvaraj, agar melihatnya sebagai pakar pukulan gara-gara sering dibayangi Razie Abdul Rahim dan juga Faizal.

"Sudah sampai masanya untuk saya tampil ke depan bagi menggantikan pakar pukulan sudut penalti negara yang berpengalaman. 

"Pendedahan saya mengambil pukulan sudut penalti di pentas antarabangsa sangat kurang. Saya sudah bersama pasukan kebangsaan sejak 2016 tetapi hanya beberapa kali berpeluang mengambil peranan itu.

"Jadi saya perlukan pendedahan itu ketika bertemu negara lain," katanya di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil, hari ini. 




Di atas kertas, juara bertahan itu memiliki kelebihan psikologi memandangkan rekod lampau di pentas final berdepan Terengganu pada 2018 dan 2017 menyaksikan mereka mengecewakan jaguh Pantai Timur berkenaan selama dua tahun berturut-turut dan tidak mustahil perkara sama akan berulang di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, esok. 

"Setakat ini saya berpuas hati dengan kadar jaringan melalui pukulan sudut penalti. 

"Kami jarang meraih pukulan sudut penalti jadi apabila berpeluang, kami cuba memanfaatkannya sebaik mungkin.

"Saya tidak memandang soal (gelaran) penjaring terbanyak tetapi apabila berpeluang dalam situasi itu, saya akan cuba menjaringkan gol." 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen