Wira hoki Perak, Mohd Haziq Samsul, yakin kecederaan hamstring yang dialaminya ketika final Piala Tun Abdul Razak 2020 tidak akan menjejaskan peluangnya tersenarai dalam skuad kebangsaan.

Haziq, yang mula tercedera di peringkat suku terakhir, masih mampu mencipta hatrik buat juara 2018 dan 2019 itu untuk menewaskan Terengganu 4-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

"Saya menanggung kecederaan ini gara-gara mahu memberikan yang terbaik untuk Perak.

"Saya tiada hak (untuk memaksa jurulatih menyenaraikan saya) jadi saya berharap dapat membuka (hati) jurulatih, Arul Selvaraj, agar memilih saya dalam pasukan kebangsaan," katanya.

Satu lagi gol Perak dijaringkan rakan penyerang, Azrai Aizad Abu Kamal, untuk kejayaan kali ke-10.

Kedua-dua gol Terengganu itu pula disumbangkan bekas penyerang negara, Faizal Saari, yang turut dinobatkan penjaring gol terbanyak kejohanan.

"Saya sedikit kecewa sebab tidak dapat bantu Terengganu dalam Piala Tun Abdul Razak 2020 tetapi saya sudah cuba yang terbaik.

"Secara peribadi saya belum puas kerana masih ada sedikit aspek (dalam permainan) yang perlu dibetulkan," kata Faizal yang meledak 18 gol.

Tumpuan arena hoki negara selepas ini terarah kepada pengumuman ketua jurulatih negara, Arul Selvaraj, mengenai pembentukan skuad baru minggu depan.

Sementara itu, Persatuan Hoki Negeri Perak akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, bagi membincangkan soal ganjaran kepada pemain dan pegawai.

Apa yang menarik, Piala Tun Abdul Razak mungkin trofi tunggal negeri itu tahun ini memandangkan banyak kejohanan tempatan dibatalkan ekoran penularan COVID-19.

Sehubungan itu, kejayaan ini patut diraikan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Dalam masa sama, Datuk Mirnawan Nawawi menetapkan sasaran peribadi untuk membawa Malaysia layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas dilantik sebagai pengurus baru skuad kebangsaan.

Kali terakhir Malaysia layak ialah menerusi Sukan Olimpik Sydney 2000, iaitu ketika beliau memakai lilitan kapten.