Piala Tun Abdul Razak 2020 cukup penting buat penyerang, Faizal Saari, kerana bukan saja untuk merampas posisi skuad kebangsaan, malah sebagai hadiah kepada Terengganu.

Gergasi Pantai Timur itu kemarau trofi di peringkat kebangsaan termasuk membabitkan bola sepak dan basikal lebuh raya tahun ini.

Lawan mereka dalam perlawanan akhir, Perak, bersandarkan rekod sebagai juara sembilan kali untuk dijadikan bekalan moral di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, esok.

Faizal akan mengetuai misi itu apabila muncul pendahulu penjaring terbanyak dengan 16 gol bagi merintis lalu mereka mengulangi kejayaan 2012 dan 2016.

"(Kejayaan) piala tahun ini pasti bermakna buat Terengganu sebab kami tidak mempunyai piala liga jadi ia pasti menjadi kemenangan Terengganu pada tahun ini.

"Saya harap kami dapat beraksi cemerlang untuk mengangkat piala esok.

"Masing-masing mempunyai kelebihan," kata bekas tonggak kebangsaan itu.

Skuad kendalian Tai Beng Hai itu memiliki lima pemain kebangsaan dan seorang pemain remaja negara.

Jumlah itu sepatutnya lebih tinggi jika tidak kerana penyerang negara, Firhan Ashaari, memilik untuk menarik diri namun sudah cukup buat mereka ke final selepas menewaskan
Pahang 4-3 dalam separuh akhir.

"Saya sudah bertanyakan minatnya sama ada mahu beraksi bersama kami tetapi baginya, keadaan isterinya lebih penting ketika ini.

"Jadi kami mahu menghadiahkan kemenangan ini kepadanya yang kehilangan anak," kata pemain tengah Terengganu, Fitri Saari, pula.

Dalam masa sama, penjaga gol Terengganu, Hazrul Faiz Ahmad Sobri, mengenal pasti dua pemain lawan yang perlu diberi perhatian terperinci.

"Pemain tengah mereka iaitu Meor Muhammad Azuan Hassan dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal yang akan menggerakkan pasukan.

"Dalam aksi separuh akhir itu, Meor mencetus dua jaringan buat mereka. Oleh itu kami perlu memberi fokus kepada mereka berdua," katanya.