UZBEKISTAN 2 TAIWAN 0

Uzbekistan menewaskan Taiwan 2-0 untuk layak ke final Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Wanita Piala Tuanku Zara di Dewan Jubli Merdeka, Kuala Kangsar petang esok.


Pemenang pingat gangsa saingan Piala Asia di Chonburi, Thailand, Jun lalu itu akan bertemu tuan rumah, Malaysia, dalam perlawanan akhir.

Malaysia muncul pasukan pertama mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir selepas kemenangan 2-0 ke atas Uzbekistan pada sebelah pagi.

Dalam perlawanan sebentar tadi, dua jaringan dalam tempoh tidak sampai seminit babak kedua sudah mencukupi buat Uzbekistan meraih kemenangan ke atas Taiwan, sekali gus mengutip sembilan mata.

Kamilla Adizova membuka jaringan pada minit ke-23, diikuti tindakan pemusnah Zulfiyakhon Khadanboeva hasil pukulan sudut penalti beberapa saat kemudian.

Walaupun Taiwan cuba bangkit, mereka tidak terdaya untuk mengelak kekalahan buat kali kedua.

Dengan kemenangan itu, Uzbekistan menduduki tempat kedua di belakang Malaysia yang muncul pendahulu manakala Taiwan akan bertemu Filipina untuk penentuan tempat ketiga esok.