MALAYSIA 13 NEPAL 0

Malaysia melengkapkan jadual pusingan awal Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Wanita Piala Tuanku Zara dengan membelasah Nepal 13-0 di Dewan Jubli Merdeka, Kuala Kangsar, sebentar tadi.


Kemenangan itu menjadi keputusan terbesar setakat ini dan ia pastinya menyuntik semangat dan keyakinan pemain tuan rumah sebelum perlawanan akhir dengan Uzbekistan petang esok.

Ini adalah kemenangan dua angka kedua skuad negara selepas membelasah Filipina 12-0 dalam perlawanan pembukaan.

Berikutan kekalahan besar itu, Nepal menamatkan cabaran di tangga tercorot kejohanan melibatkan lima pasukan secara liga satu pusingan itu.

Dalam aksi tersebut, tuan rumah yang sudah melayakkan diri ke perlawanan akhir esok turun tanpa sebarang tekanan.

Nur Afiqah Syahzani Azhar bersendirian menyumbat enam gol untuk menghasilkan sembilan gol peribadi setakat ini manakala Noor Hasliza Md Ali, Nur Atira Mohamad Ismail, Safiqah Mat Isa masing-masing dua gol sementara Siti Nur Arfah Mohd Noor satu jaringan.

Anak buah Dhaarma Raj Abdullah itu mendahului 5-0 dalam separuh pertama dan melengkapkan kemenangan bergaya dengan lapan lagi gol dalam babak kedua untuk kemenangan terbesar setakat ini.