MALAYSIA 2 UZBEKISTAN 0

Tuan rumah, Malaysia, menumpaskan Uzbekistan 2-0 untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Wanita Piala Tuanku Zara di Dewan Jubli Merdeka, Kuala Kangsar, hari ini.


Jaringan dalam setiap babak oleh Nur Aisyah Yaacob sudah mencukupi untuk skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu merekodkan kemenangan ketiga selepas menewaskan Filipina dan Taiwan semalam.

Lebih manis, kejayaan itu turut membolehkan Malaysia menebus kekalahan 0-1 kepada Uzbekistan dalam perlawanan penentuan pingat gangsa Piala Asia di Chonburi, Thailand, Jun lalu.

Begitupun, Uzbekistan tidak menawarkan laluan mudah buat Malaysia apabila memberikan saingan dan mempamerkan semangat juang yang kental.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua gol Malaysia diperoleh melalui pukulan sudut penalti.

Nur Aisyah meledak gol pertama pada minit keenam sebelum menumpaskan penjaga gol Uzbekistan, Malika Kamilova, buat kali kedua pada minit ke-33 untuk melegakan kem Malaysia.