MALAYSIA 12 FILIPINA 0

Tuan rumah, Malaysia, membuka kempen Kejohanan Hoki Dalam Dewan Jemputan Antarabangsa Wanita Piala Tuanku Zara dengan membenam Filipina 12-0 di Dewan Jubli, Kuala Kangsar, sebentar tadi.


Dalam perlawanan kedua sesi pagi itu, Malaysia memperolehi 10 gol melalui jaringan padang manakala dua lagi hasil pukulan sudut penalti.

Nur Afiqah Syahzani Azhar menyumbat hatrik manakala Nur Aisyah Yaacob, Qasidah Najwa Muhammad Halimi dan Siti Nur Arfah Mohd Nor masing-masing menjaringkan dua gol.

Baki gol skuad negara dijaringkan oleh Noor Hasliza Md. Ali, Fadzillaa Sylvester Silin dan Nurul Safiqah Mat Isa.

Turun untuk kali pertama, anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu melancarkan serangan sebaik permulaan perlawanan dan merobek kubu lawan pada minit ketiga menerusi kapten, Noor Hasliza.

Tujuh minit kemudian, Fadzilla melebarkan kedudukan apabila menyudahkan serangan yang dijana rakan sepasukannya.

Filipina jelas tidak tertahan dengan asakan bertali arus Malaysia apabila gandingan Nur Aisyah, Nur Afiqah, Nurul Safiqah dan Siti Nur Arfah menyumbat lima gol lagi untuk Malaysia mendahului 7-0 menjelang waktu rehat.

Bersambung babak kedua, tuan rumah menambah lima gol melalui Qasidah Najwa (2), Siti Nur Arfah, Nur Afiqah dan Nur Aisyah untuk Malaysia muncul pasukan pertama mencatat kemenangan dengan kelebihan dua angka.