Piala TNB: UniKL tidak gentar, THT azam tebus kekecewaan

Oleh Shaiful Shamsudin 21 Februari 2020 92
Piala TNB: UniKL tidak gentar, THT azam tebus kekecewaan
Menjelang aksi final Piala TNB, jurulatih skuad Universiti Kuala Lumpur, (UniKL), Arul Selvaraj, melontar perang psikologi terhadap Pasukan Hoki Terengganu (THT) dengan harapan mampu meraih kejuaraan ketiga musim ini.

Saingan Piala TNB sampai ke kemuncaknya apabila UniKL bakal berhitung dengan THT dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, esok.

Reputasi sebagai juara Piala Sumbangsih serta saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) pasti ingin diteruskan UniKL apabila THT turun sebagai juara bertahan.




Wakil Pantai Timur itu pasti menyandarkan harapan ke atas ketajaman penyudah Jang Jong-hyun menerusi pukulan sudut penalti namun UniKL tidak mungkin berdiam diri dengan mempertaruhkan Muhammad Razie Abd Rahim untuk tugasan berkenaan.

"Seorang pemain tidak akan dapat menentukan perlawanan dan saya bergantung ke 18 pemain skuad ini. 

"THT kerap menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti dan kalau kami dapat mengelakkannya, maka mereka tidak akan dapat menyumbat gol. 

"Saya akan mempertaruhkan kemampuan pemain saya jadi saya yakin mengenai hal itu," kata Arul kepada wartawan Nadi Arena, Wan Muiz Wan Aziz, dalam sidang media di Pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Bukit Jalil, hari ini. 



Dalam pada itu, pengendali THT, Dhaarma Raj Abdullah, pula seakan-akan mengambil pendekatan merendah diri dalam final kali ini.

"Mereka mengalahkan kami dua kali dalam liga.

"Walaupun kami akan turun selaku juara bertahan, (status) itu tidak menawarkan kami sebarang kelebihan.

"Walaupun dianggap sebagai 'underdog', kami dapat mara ke perlawanan akhir dan apa jua boleh berlaku.

"Kami mahu menebus kehampaan dalam liga dengan memenangi kejohanan ini," kata Dhaarma pula. 

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen