Jurulatih UniKL, Megat Azrafiq Megat Termizi, tidak selesa dengan gelaran pilihan juara menjelang perlawanan akhir Piala TNB 2021, malam esok.

Beliau menghormati Terengganu Hoki Team (THT) sebagai pencabar terkuat Liga Hoki Malaysia (LHM) dan bimbang terlepas menggenggam tiga kejuaraan sekiranya pemainnya memandang rendah lawan.

Di atas kertas, UniKL banyak kelebihan untuk menjulang Piala TNB buat kali ketiga dalam sejarah pasukan.

Juara liga dan Piala Sumbangsih itu dibarisi 10 pemain kebangsaan serta bebas kecederaan.

"Walaupun kami menang 4-2 (ke atas seteru sama) dalam liga tapi kami nampak peningkatan THT dalam tiga perlawanan terakhir.

"Dari situ kami perlu merencana sesuatu untuk perlawanan akhir ini," kata Megat Azrafiq dalam sidang media di Bukit Jalil, hari ini.


Can UniKL win the treble this year? Or can THT finish the season on a high? It's UniKL vs THT in the final of the TNB...

Posted by Malaysian Hockey Confederation on Thursday, April 1, 2021


Menurut kapten UniKL, Marhan Abdul Jalil: "Kami sentiasa tekankan aspek kekeluargaan dalam pasukan ini, kami tidak berikan tekanan.

"Seperti sebelum ini, kami sentiasa menikmati permainan."

Namun, THT bukan calang-calang pasukan berdasarkan kebangkitan yang mereka mempamerkan keupayaan apabila muncul naib juara liga.

UniKL layak ke final selepas menewaskan TNB 4-1 secara agregat dalam separuh akhir Piala TNB.

Bagi THT, kemampuan pemain muda untuk menjaringkan gol ketika menyingkirkan Maybank 4-1 di peringkat sebelumnya, seterusnya membuktikan bahawa mereka tidak hanya bergantung kepada ketua pasukan, Faizal Saari.

Penyerang kebangsaan itu muncul pendahulu penjaring terbanyak liga dengan 14 gol.

"THT memang sudah banyak kali menang Piala TNB sementara setahun dua ini pula UniKL memang berada di kemuncak prestasi.

"Kami perlu berikan 100 peratus esok untuk menerima apa jua keputusannya," katanya

Pertahanan UniKL, Razie Rahim, merupakan duri dalam daging buat pencabar tetapi THT juga mempunyai pakar pukulan sudut penalti seperti Faizal yang mampu membantu mereka mengulangi pencapaian 2019.

"Faizal boleh menang untuk kami, ini cabaran menarik di antara kedua-dua pemain kebangsaan tersebut.

"Saya harap THT menjadi esok," kata jurulatih wakil Terengganu itu, K Rajan.

Dalam masa sama, KHM membenarkan penonton yang terdiri daripada wakil pasukan sahaja untuk masuk ke stadium bagi menyaksikan final.