Piala TNB: Tentangan sengit Maybank bekalan UniKL ke final

Oleh Shaiful Shamsudin 19 Februari 2020 128
Piala TNB: Tentangan sengit Maybank bekalan UniKL ke final
Pengendali Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj, lega anak buahnya tidak terperangkap dengan corak kental bertahan daripada Maybank apabila dipaksa berhempas-pulas sepanjang 60 minit perlawanan sebelum menempah slot ke final Piala TNB dengan kemenangan 2-1.

Jurulatih itu secara peribadi sudah menjangkakan Maybank akan turun habis-habisan petang tadi memandangkan format tahun ini tiada lagi perlawanan timbal balik aksi separuh akhir seperti edisi sebelum ini apabila satu perlawanan sahaja bakal menjadi pemisah untuk pasukan melangkah ke perlawanan akhir.

Apatah lagi kecekapan penjaga gol Maybank, Mohd Aidil Mohd Shah, yang beraksi cemerlang apabila menepis satu demi satu serangan yang dilancarkan UniKL.

Kejayaan juara berganda musim itu melangkah ke perlawanan akhir turut memberi ruang buat Arul dan barisan pemainnya mengubati kekecewaan tewas kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam edisi lalu, sekali gus mencapai misi menjulang dua trofi musim ini.

"Sasaran kami adalah memburu dua piala pada tahun ini, iaitu kejuaraan liga dan Piala TNB.

"Saya mengingatkan pemain bahawa kami baru mencapai 50 peratus daripadanya.

"Daripada segi persiapan final, saya harus mengucapkan terima kasih kepada Maybank kerana telah memberikan tentangan paling sengit kepada kami musim ini.

"Ia bagus untuk kami mempersiapkan mental untuk perlawanan akhir," katanya sejurus perlawanan.

Dalam perlawanan itu,  pakar pukulan sudut penalti kebangsaan, Razie Abdul Rahim, meledak dua jaringan penting buat UniKL, masing-masing menerusi pukulan sudut penalti dan penalti stroke sebelum Maybank bangkit untuk memperoleh gol sagu hati menerusi Adam Aiman Mamat pada lewat perlawanan.

"Kalau boleh saya dapatkan trofi pertama Piala TNB buat UniKL.

"Saya belum pasti akan terus mewakili UniKL atau tidak pada musim depan.

"Saya harap lebih baik kami hadiahkan kejuaraan Piala TNB buat pasukan," kata Razie. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen