Piala TNB: Taktik THT kecewakan TNB untuk ke final

Oleh Shaiful Shamsudin 19 Februari 2020 1678
Piala TNB: Taktik THT kecewakan TNB untuk ke final
Pasukan Hoki Terengganu (THT) nyaris berputih mata dengan aksi kebangkitan yang dipaparkan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum mengesahkan kemaraan ke final Piala TNB dengan kemenangan tipis 4-3 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

THT, yang turun sebagai penyandang juara musim lalu, mengidam untuk mempertahankan kejuaraan yang juga bakal menjadi hadiah perpisahan terbaik buat pengendalinya, Dhaarma Raj Abdullah, yang bakal membawa diri ke Jawa Barat, Indonesia.

Kesungguhan itu diterjemahkan apabila wakil dari Pantai Timur mula meledak menerusi pakar pukulan sudut penalti, Jang Jong-hyun pada minit ketujuh.

Jong-hyun semakin mengganas apabila menyempurnakan hatriknya dalam perlawanan itu yang menyaksikan meledak jaringan dalam tempoh dua minit (minit ke 27 dan 28) untuk THT selesa 3-0 di hadapan.

Anak buah Nor Saiful Zaini, bagaimanapun, tidak mengalah apabila bingkas bangkit untuk merapatkan jurang pada minit ke-33 menerusi Muhammad Azrai Abd Kamal dan seterusnya Syed Syafiq Syed Cholan pada minit ke-35.

Perlawanan menjadi semakin rancak dengan THT menambah satu lagi jaringan pada minit ke-37 menerusi Luqman Nul Hakim sebelum TNB membalas melalui Aminuddin Mohd Zain untuk kedudukan kini menjadi 4-3.

Begitupun ia sudah terlewat untuk menghalang THT melangkah ke final untuk membuat perhitungan dengan UniKL, Sabtu ini.

"Mujur pemain saya sedikit bijak untuk melengah-lengahkan masa pada saat-saat akhir permainan untuk memenangi perlawanan ini," kata Dhaarma kepada wakil Nadi Arena, Adam Zamri, sebentar tadi.

Sementara itu, menurut Nor Saiful: "Kami akur dengan kekalahan ini terutama dengan kehebatan ayam tambahan THT, Jong-hyun, yang meledak hatrik seperti tahun lalu."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen