Ketiadaan juara bertahan musim lalu, Sapura, yang menarik diri daripada Liga Hoki Malaysia 2017 dalam undian pusingan pertama Piala Tan Sri Alagendra semalam, bakal menyaksikan beberapa pertembungan menarik dengan pasukan bertanding mula memasang impian untuk muncul juara.

Saingan musim baru ini akan bermula seawal 6 Januari sehingga 26 Februari depan.

Tidak seperti musim sebelum ini, Piala Tan Sri Alagendra akan diadakan sebelum bermulanya aksi liga dan kesemua perlawanan akan berlangsung di Lembah Klang.

Dengan mengekalkan format yang sama, pasukan akan diundi pada setiap pusingan bagi menjadikan persaingan lebih terbuka.

"Dalam majlis undian kali ini, nampaknya KLHC (Kelab Hoki Kuala Lumpur) pula menjadi halangan kami. Kami mengharapkan sesuatu ajaib akan berlaku," ujar pengurus TNB, Adam Izamry.

"Boleh dikatakan untuk pertemuan dengan TNB Thunderbolts, semua pasukan adalah seimbang.

"Mereka baru sahaja layak ke saingan Liga Perdana, apa sahaja boleh berlaku di atas padang," kata pengurus Terengganu Hockey Team (THT), Zaki Mohd Noor.

Untuk musim ini, sebanyak 16 pasukan akan berentap dan perlawanan tumpuan pastinya terarah kepada pertembungan di antara KLHC menentang naib juara musim lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Kami akan cuba sedaya-upaya untuk memberikan yang terbaik memandangkan laluan dalam Piala Tan Sri Alagendra kali ini sedikit memihak kepada UniKL (Universiti Kuala Lumpur)," kata pengurus UniKL, Mohd Asmadi Mohd Nor.

"Ia undian yang adil buat kami apabila diundi bertemu dengan UPM-KPT untuk pusingan pertama.

"UPM adalah pasukan dari Divisyen Satu, jadi kami mungkin memiliki kelebihan dari segi itu", kata pengurus Maybank, Omar Sharafuddin, pula.

Senarai penuh jadual pusingan pertama Piala Tan Sri Alagendra:

UniKL lawan UiTM-KPT

UPM-KPT lawan Maybank

SSTMI lawan Johor

PDRM lawan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ)

TNB Thunderbolts lawan THT


Nur Insafi lawan Politeknik-KPT

KLHC lawan TNB