Penyerang pasukan Melaka, Amerullah Zainol, berdepan tugas berat untuk mempertahankan trofi Piala Razak, 18 September depan.

Melaka menamatkan penantian selama empat tahun untuk muncul juara dengan menewaskan Johor 3-1 dalam aksi final tahun lalu.

Namun, cabaran berbeza buat bekas penyerang negara itu apabila penganjuran edisi kali ini membenarkan penglibatan tonggak kebangsaan dengan juara edisi 2017 dan 2018, Perak, dilihat sebagai pencabar hebat.

Lebih membimbangkan, persiapannya bersama rakan sepasukan belum lagi bermula memandangkan berdepan kesulitan dalam soal pelepasan pekerjaan.

"Mana-mana pasukan sekalipun pasti berdepan kepayahan untuk mempertahankan kejuaraan.

"Tetapi kami perlu berikan aksi terbaik.

"Jadi kami mengharapkan tempat terbaik dalam kejohanan kali ini.

"Kami setidak-tidaknya menyasarkan kemaraan ke separuh akhir," katanya hari ini.





Selepas dihimpit krisis COVID-19 yang memaksa banyak saingan musim ini sama ada ditangguhkan atau dibatalkan, Amerullah menyifatkan pemain tidak memerlukan masa panjang sebelum kembali di kemuncak prestasi.

"Selepas lama tidak beraksi, kami perlu tingkatkan tahap kecergasan kerana masing-masing ada asas permainan.

"Walaupun tidak mencapai kecergasan tertinggi, masih boleh berikan persembahan yang baik," katanya.


Senarai juara Piala Razak (2010-2019)

2019 - Melaka

2018 - Perak

2017 - Perak

2016 - Terengganu

2015 - Melaka

2014 - Perak

2013 - Perak

2012 - Terengganu

2011 - Kuala Lumpur

2010 - Kuala Lumpur