Jaringan penyamaan daripada pakar pukulan sudut penalti, Najmi Farizal Jazlan, membawa Terengganu ke final Piala Razak selepas seri 1-1 ketika menentang Melaka dalam aksi terakhir peringkat round robin Divisyen 1, sekali gus bakal berdepan Perak, esok.

Terengganu hanya perlukan seri untuk melayakkan diri ke final.

Anak buah Chairil Anuar Abd Aziz itu bermula agresif, namun dikejutkan dengan gol pembukaan penyerang Melaka, Amerullah Zainol, pada minit keenam.

Terengganu kemudian meningkatkan serangan dan usaha mereka berhasil apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti.

Najmi melaksanakan tugas dengan cemerlang untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-18.

Melaka lebih banyak menyerang selepas waktu rehat.

Dalam suku terakhir, juara edisi 2015 itu dihadiahkan tujuh pukulan sudut penalti, namun gagal menewaskan keampuhan pertahanan Terengganu.

Keputusan seri itu sudah cukup untuk Terengganu layak ke final untuk melakukan perhitungan dengan Perak.

"Saya memberikan pujian kepada barisan pertahanan kerana mereka berjaya menghalang tujuh pukulan sudut penalti dalam suku terakhir.

"Kami perlu mengkaji semula bagaimana mereka boleh memperoleh pukulan sudut penalti sebanyak itu dan memperbaikinya dalam aksi final nanti," kata kapten skuad hoki Terengganu, Fitri Saari.