Juara bertahan, Selangor memulakan aksi pembukaan Piala Tun Abdul Razak 2020 bagi kategori wanita dengan cemerlang apabila membenam Terengganu, 8-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Dibarisi oleh lapan pemain kebangsaan, skuad bimbingan Ikhmal Abdul Jabar itu yang meledak kesemua gol menerusi gerakan padang bagaimanapun perlu menunggu sehingga minit ke-30 untuk memecah kebuntuan jaringan.

Bermula dengan jaringan Anis Nurfatihah Asmidee, Fatin Naimah Zaki memastikan Selangor selesa dihadapan 3-0 dengan gol yang dihasilkan pada minit ke-33 dan 35 sebelum Nur Atira Mohamad Ismail mengubah kedudukan menjadi 4-0.

Fatin Naimah Zaki muncul penjaring hatrik pada minit ke-49 dan berselang dua minit kemudian giliran Fatin Syafikah Madh Sukri mencatat nama selaku pemain sebelum Nuramirah Shakirah Zulkifli mengubah kedudukan menjadi 7-0 pada minit ke-52.

Seakan masih belum puas, Nur Atira Mohamad Ismail menjaringkan gol peribadi keduanya yang sekaligus menutup perlawanan pembukaan Kumpulan A dengan Selangor cemerlang di kedudukan teratas kumpulan.

Bagi bekas pemain kebangsaan yang juga penjaring hatrik untuk pasukan Selangor, Fatin Naimah Zaki, faktor lambat panas pada perlawanan pertama menyebabkan mereka perlu menunggu sehingga minit ke-30 untuk menjaringkan gol dan selepas mendapat rentak pasukannya mula menampilkan corak permainan yang berbeza.

“Di awal perlawanan rentak permainan kami sedikit perlahan kerana mungkin ini merupakan aksi pertama dan pemain masih belum panas. Tetapi apabila masuk suku ketiga dan keempat kami berjaya mengubah tempoh perlawanan dan meledak lapan gol.

“Saya menyertai pasukan kerana mahu membantu dan memberikan sokongan kepada pasukan selain memberikan ruang kepada pemain muda untuk belajar sedikit sebanyak ilmu yang boleh saya ajarkan kepada mereka.

“Ia juga sebagai salah satu persediaan kepada mereka untuk di masa akan datang mereka boleh mengikut rentak pemain yang lebih senior,”jelasnya yang ditemui selepas tamat perlawanan.

Dalam pertemuan antara Pulau Pinang dan Perak, kebangkitan yang cuba ditampilkan oleh Perak selepas ketinggalan 0-3 tidak cukup untuk menyekat Pulau Pinang daripada mengutip tiga mata penuh selepas Perak terpaksa akur tewas 2-3.

Melaka pula yang turun menentang Kuala Lumpur bagi saingan Kumpulan B berjaya mencuri tiga mata penuh daripada aksi tersebut selepas jaringan tunggal Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin pada minit ke-28 gagal dipadam oleh pasukan lawan untuk aksi berkesudahan memihak pasukan Melaka.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung menemukan Pahang dan Sarawak di mana Pahang tidak berdepan masalah untuk memastikan tiga mata pertama menjadi milik mereka dengan menundukkan lawan mereka 5-0 hasil jaringan padang.

Bermula jaringan Umi Nur Alyaa Abdul Rahman pada minit kelima, Nurul Fatin Fatiah Azman menggandakan kedudukan pada minit ketujuh sebelum Nuraini Abdul Rashid terus melebarkan sayap kedudukan pada minit ke-23 dan seminit sebelum aksi separuh masa pertama ditutup, giliran Wan Norfaiezah Md Saiuti mengubah kedudukan menjadi 4-0.

Seakan kedudukan perlawanan dilihat akan kekal sehingga ke penamat, Hanis Nadia Onn muncul selaku penjaring kelima untuk Pahang menutup aksi pertama mereka dengan kemenangan bergaya 5-0 ke atas Sarawak yang juga meletakkan mereka selaku pasukan teratas kumpulan B.

Tiada perlawanan melibatkan aksi kumpulan B esok sementara PDRM dan ATM akan turun bagi aksi sulung kumpulan C selain keempat-empat pasukan dalam kumpulan A akan meneruskan saingan kedua mereka.