Kejohanan Hoki Piala Razak 2019 yang bermula esok tetap diteruskan di sebalik kebimbangan jerebu.

Pengarah Kejohanan, B. Shaji, menegaskan pihaknya akan mengikut prosedur cuaca Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi angka 200.

Persoalan mengenai status Piala Razak 2019 terjawab selepas tamat mesyuarat pengurus pasukan di Bukit Jalil, hari ini.

Tiada sebarang bantahan disuarakan 22 wakil pasukan bertanding, sekali gus bermakna kejohanan akan tetap diteruskan walaupun dalam keadaan jerebu.

Penganjur bersiap-sedia dengan langkah pencegahan, terutama mengikut piawaian FIH.

"Jika IPU mencatatkan lebih daripada 200, kami akan mengambil langkah berjaga-jaga yang lebih penting seperti melanjutkan tempoh rehat dalam setiap suku permainan," kata Shaji.

Sebelum ini, beberapa jurulatih dan pemain menyuarakan rasa tidak selesa berlatih dalam keadaan jerebu.

Ia pasti meningkatkan cabaran untuk juara bertahan lelaki (Perak) dan wanita (Kuala Lumpur) mempertahankan trofi mereka.

"Pasukan kami tanpa enam tonggak utama yang bertugas bersama skuad negara ke Korea Selatan. Masih terdapat pemain berpengalaman mampu menggalas tugas menghadapi Piala Razak," kata kapten Perak, Shahrul Imran Nazli.

"Tiada alasan untuk kami gagal beraksi cemerlang dalam Piala Razak. Kuala Lumpur telah berusaha mempersiapkan diri untuk menghadapi saingan kali ini," kata kapten Kuala Lumpur, Nur Syafiqah Mohd Zain.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, menasihatkan semua aktiviti luar dewan dibatalkan jika IPU melebihi angka 200.

Ia berdasarkan kenyataan Institut Sukan Negara (ISN) di mana aktiviti dalam keadaan sebegitu boleh mendatangkan kesan buruk kepada atlet.

"Pihak penganjur berhak memutuskan sama ada untuk meneruskan saingan atau sebaliknya. Pihak ISN dan MSN telah memberikan nasihat mengenai perkara ini dan ia telah dijelaskan kepada semua pihak," kata Syed Saddiq.