Piala Razak: Roslan luah hasrat buat penampilan terakhir LHM 

Oleh Penulis Jemputan 4 November 2018 308
Piala Razak: Roslan luah hasrat buat penampilan terakhir LHM 
Penjaga gol veteran, Roslan Jamaluddin, akan membuat penampilan terakhir dalam kancah Liga Hoki Malaysia (LHM), Januari depan selepas muncul wira membantu Perak mempertahankan Piala Razak menerusi kemenangan 3-1 dalam penentuan pukulan penalti.

Bekas penjaga gol kebangsaan berkenan menjadi nadi Perak sebanyak dua kali dalam aksi final di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil, malam tadi apabila menghalang banyak serangan Terengganu.

Terengganu meledak menerusi Ameer Aiman Mohd Saberi seawal minit keempat.

Perak kemudian menyamakan kedudukan menerusi Shazril Irwan Nazli pada minit ke-15 sebelum 
gergasi Pantai Timur itu kembali di depan menerusi Syamiru Aiman Bidin (m-22).

Namun, Azrai Aizad Abu Kamal mengikat kedudukan (m-47) untuk mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti.

Roslan menggunakan pengalaman hampir dua dekad mewakili skuad kebangsaan untuk menghalang tiga gerakan pemain Terengganu untuk muncul juara.

"Realitinya, saya berasakan tidak setangkas dulu lagi. 

"Saya menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu Perak pada malam ini," katanya. 

Dalam masa sama, Roslan berhasrat untuk mengharungi musim LHM buat kali terakhir sebagai pemain memandangkan usianya sudah mencecah 40 tahun musim depan. 

"Saya tidak pasti akan bermain atau bersara. Tetapi, jika masih berkemampuan dan ada kelab yang memerlukan khidmat saya, Insya-Allah saya mungkin bermain buat kali terakhir," katanya. 

Menurut pemain Terengganu, Mohamed Shahrun Nabil Abdullah, pula: "Saya berasa amat bangga kerana banyak pasukan dalam saingan ini menggunakan sentuhan pemain Sukan Malaysia (Sukma) di Perak.

"Jadi, kita boleh nampak peningkatan di peringkat bawahan memang memuaskan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen