Juara bertahan, Perak, yakin mampu mempertahankan gelaran hoki Piala Razak edisi ke-56 yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Keyakinan itu dilaungkan jurulatih Perak , Mohd Nizam Mohd Hashim, ketika dihubungi sebentar tadi.

"Berdasarkan prestasi semasa pemain, Insya-Allah saya yakin kami mampu pertahan gelaran sekali lagi.

"Mereka menunjukkan peningkatan perlawanan demi perlawanan.

"Tambahan pula untuk perlawanan malam esok, saya mampu menurunkan kesebelasan terbaik kerana bebas kecederaan dan penggantungan, " kata Nizam yang gembira dengan pencapaian anak buahnya.

Lawan Perak dalam perlawanan akhir ialah Terengganu yang juga merupakan naib juara tahun lalu.

Kedua-dua pasukan mara ke final selepas muncul dua pasukan teratas dalam kejohanan yang dijalankan secara liga satu kumpulan itu.

Perak menamatkan cabaran dengan mengutip 11 mata manakala Terengganu sembilan mata daripada lima perlawanan.

Ini adalah pertemuan kali kedua di antara kedua-dua pasukan dalam kejohanan ini. Mereka seri 1-1 dalam perlawanan pembukaan, minggu lalu.