Pakar pukulan sudut penalti Perak, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan, muncul wira apabila menjaringkan gol penyamaan untuk membantu juara sembilan kali itu menjuarai Kumpulan B sekali gus layak ke suku akhir Piala Razak 2020.

Perak yang dibarisi enam pemain kebangsaan dan tiga pemain remaja negara turun sebagai pilihan utama di Stadium Hoki Nasional 2 Bukit Jalil.

Namun, skuad kendalian Roslan Jamaluddin itu gagal mempamerkan aksi terbaik apabila ketinggalan menerusi penyerang Selangor, Muhammad Zafri Afiq Nor Azlan pada minit ke-24.

Perak menyamakan kedudukan menerusi Azrai Aizad Abu Kamal tujuh minit kemudian.

Selangor kembali di depan apabila Syamil Azim Dzulkafly meledak gol cantik pada minit ke-35 sebelum Syafiq menyamakan kedudukan pada minit ke-43 untuk memastikan Perak muncul juara kumpulan B sekali gus mara ke suku akhir.

"Ini merupakan perlawanan ketiga dalam peringkat kumpulan dan peratusan Perak meraih pukulan sudut penalti agak rendah dan peluang yang hadir membenarkan saya mempamerkan kemampuan saya," kata Syed Syafiq.

"Selangor telah mendahului dua kali namun Perak bangkit menyamakan kedudukan, malang sekali buat kami dan tuah tidak menyebelahi pasukan dalam perlawanan ini," kata penyerang Selangor, Syamil Azim.