Perak kini berada dalam kelas tersendiri dan terus mencipta nama sebagai pasukan elit sukan hoki negara apabila muncul juara edisi ke-55 Kejohanan Hoki Piala Razak selepas menumpaskan juara bertahan, Terengganu, 3-2 di Ipoh, semalam.

"Kami berjaya kerana bergerak sebagai satu unit. Saling lengkap-melengkapi," jelas ketua jurulatih Perak, Mohd Nizam Mohd Hashim.

Tambah beliau, skuadnya mempamerkan persefahaman yang baik dan tahu fungsi dan tugas masing-masing.

"Sebelum perlawanan, kami buat satu kesimpulan. Tunggu dan sabar. Bila lawan tersilap langkah, peluang itu jangan dipersiakan," ujarnya.

Sementara itu, ketua jurulatih Terengganu, Sarjit Singh, tidak menafikan pasukannya gagal memanafaatkan peluang yang ada.

"Perlawanan hari ini 50-50. Kami juga mempunyai peluang dan menguasai perlawanan tetapi Perak lebih cemerlang melakukan penyudah. Apa-apapun, persembahan yang menarik oleh kedua-dua pasukan," katanya.

Stadium Hoki Sultan Azlan Shah dihiburkan dengan permainan bermutu kedua-dua pasukan sehingga jaringan gol pada minit ke-59 yang disempurnakan Hafifi Hafiz Hanafi meranapkan impian juara bertahan, Terengganu.

Untuk rekod, ini tahun keenam Perak berada dalam senarai empat kedudukan terbaik setelah muncul johan pada tahun 2012, 2013 dan 2014, naib johan 2015 dan ketiga tahun lalu.