Piala Razak: Nazrey bantu kemenangan besar Pahang

Oleh Penulis Jemputan 26 Oktober 2018 298
Piala Razak: Nazrey bantu kemenangan besar Pahang
Penyerang hoki Pahang, Muhamad Nazrey Din, meledak dua gol ketika pasukannya membelasah Singapura 6-0 dalam aksi pembukaan divisyen dua Piala Razak, sekali gus menjadi amaran awal untuk skuad Pantai Timur itu kembali ke saingan utama.

Nazrey mencuri tumpuan ketika Pahang menurunkan 11 pemain Sukan Malaysia (Sukma) di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil, hari ini.

Penyerang berusia 18 tahun itu mempamerkan aksi mantap bersama penyerang senior, Mohd Hafiz Zainol dan Mohd Sybrie Shamsuddin sepanjang tempoh 60 minit perlawanan.

Pahang tidak berdepan masalah mendahului 4-0 dalam separuh masa pertama menerusi Hafiz, Nazrey, Ahmad Kazamirul Nasruddin dan Mohd Hafiz Zauri.

Aksi selepas rehat menyaksikan Sybrie melebarkan kedudukan kepada 5-0 sebelum Nazrey melengkapkan kemenangan besar Pahang pada minit ke-42.

"Kedua-dua penyerang senior tersebut turut berasal dari Sekolah Sukan Pahang (SSP).

"Kami sememangnya sudah mendapat keserasian dari dulu lagi.

"Ditambah dengan beberapa lagi tonggak senior, kami dapat bermain dengan baik hari ini," kata Nazrey.

Sementara itu kapten Singapura, Mohamad Aidil Ibrahim, menjelaskan ketiadaan beberapa tonggak senior menjadi punca kepada aksi longlai yang dipamerkan pasukannya.

"Kebanyakan tonggak senior kami tiada di sini.

"Ini adalah pasukan pembangunan kami bagi menghadapi Sukan SEA Filipina dan kejohanan-kejohanan lain yang akan datang.

"Ini adalah proses latihan dan pembelajaran yang baik buat pasukan kami," kata Aidil.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen