Pakar pukulan sudut penalti Terengganu, Najmi Farizal Jazlan, membuat keputusan tepat dengan mewakili gergasi Pantai Timur itu selepas menerima beberapa tawaran lain sejurus negeri kelahirannya, Perlis, menarik diri pada saat-saat akhir.

Terengganu layak ke final Piala Razak selepas seri 1-1 dengan Melaka dalam aksi terakhir round robin, semalam.

Najmi kali pertama mewakili Terengganu dalam Piala Razak dan muncul wira untuk membawa pasukan itu mara ke perlawanan akhir bertemu Perak, esok.

"Saya berterima kasih kepada Terengganu, kalau mereka tidak mengambil saya, mungkin saya tidak mempunyai pasukan untuk beraksi dalam Piala Razak.

"Saya membalas kepercayaan yang diberikan," katanya.

Semasa bertahan dalam situasi pukulan sudut penalti, Najmi memainkan peranan dengan memberikan panduan kepada rakan sepasukan yang lebih muda, khususnya dalam suku keempat.

"Para pemain muda mungkin pernah beraksi dalam Sukan Malaysia (Sukma) mahupun Piala Razak.

"Tetapi, mereka mungkin kurang pengetahuan soal detik larian terbaik dan Alhamdulillah kami dapat selamatkan pintu gol kami," tambahnya.

Najmi berpeluang untuk menjulang Piala Razak buat julung kalinya apabila bertemu Perak dalam penentuan juara.

"Insya-Allah kami memiliki peluang dengan kehadiran semula beberapa pemain utama esok," katanya.