Piala Razak: Melaka, Selangor sasar pertahan kejuaraan

Oleh Ammar Hakim 17 September 2020 94
Piala Razak: Melaka, Selangor sasar pertahan kejuaraan
Saingan Piala Tun Razak 2020 akan membuka tirai menerusi perlawanan sulung esok, dengan perebutan kejuaraan didominasi pasukan Melaka dan Selangor dalam edisi tahun lalu. 

Saingan ini sekaligus bakal menjadi medan penting buat pemain membuktikan kredibiliti untuk berada di bawah kendalian jurulatih hoki negara, Arul Selvaraj.

Kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bermula 18 hingga 26 September itu menampilkan format yang berbeza, di mana semua pasukan akan berentap dalam satu divisyen. 

Juga, tiada had umur ditetapkan dengan penglibatan pemain kebangsaan dibenarkan untuk edisi kali ini. 

Ia merupakan cabaran berbeza buat pasukan pengurusan menganjur kejohanan tersebut di sebalik kekangan penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, kejohanan itu mendapat sambutan dengan penglibatan 15 pasukan lelaki dan 11 pasukan wanita. 

"," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh.

Meskipun bergelut menghadapi persiapan, jurulatih pasukan juara bertahan lelaki, Melaka meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke pusingan separuh akhir. 

"Untuk tahun ini seperti semua sedia maklum pemain kebangsaan juga dibenarkan bermain jadi kami meletakkan sasaran untuk melangkah ke separuh akhir terlebih dahulu dan kemudian kami akan merangka perancangan seterusnya," kata jurulatih Melaka, Azrul Effendy Bistamam.

"Tempoh perlawanan juga pastinya akan menjadi lebih menarik dan berbeza daripada perlawanan sebelum ini kerana kejohanan ini juga akan dijadikan sebagai landasan untuk mendapatkan tempat di dalam pasukan kebangsaan."

Sementara itu, jurulatih pasukan wanita Selangor, Ikmal Abdul Jaabar, mengakui merasai tekanan berbeza untuk mempertahankan kejuaraan.

Lebih-lebih lagi selepas pasukannya mempunyai lapan pemain yang mewakili pasukan kebangsaan. 

"Saya mempunyai lapan pemain kebangsaan jadi tekanan kepada kami adalah lebih tinggi. Namun kehadiran mereka ini adalah sesuatu yang cukup baik untuk pasukan kerana mereka banyak membantu saya dari segi taktikal serta sistem pasukan," kata Ikmal.

"Mereka telah faham taktikal dan sistem yang saya terapkan di dalam pasukan jadi mereka banyak membantu untuk menyampaikan maklumat kepada pemain yang lebih muda dan tugas saya untuk membuat pemain muda memahami apa yang saya mahu terapkan menjadi lebih mudah."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen