MELAKA 3 JOHOR 1

Melaka meraih kejuaraan Piala Tun Abdul Razak 2019 selepas menewaskan Johor 3-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.


Melaka terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Luqman Nurhakim Saiful pada minit ke-18 selepas memanfaatkan gerakan untuk menyempurnakan gol padang.

Muhammad Muhibuddin Moharam kemudian menggandakan pendahuluan buat Melaka pada minit ke-34 sebelum Shello Silverius membalas buat Johor hasil daripada penalti stroke di hujung suku ketiga.

Melaka kemudian menambah satu lagi jaringan menerusi Amirullah Zainol pada minit ke-53 untuk mengesahkan kejuaraan yang kali terakhir dimenangi mereka pada 2015.

"Saya amat gembira dengan prestasi pemain, mereka dapat mengikut segala arahan dan percaturan taktikal yang kami ingin kami lakukan berdepan Johor.

"Kami membariskan lapan pemain daripada skuad Sukan Malaysia (Sukma) sebagai pendedahan awal mereka untuk kejohanan itu tahun hadapan selain meneliti corak permainan Johor dalam perlawanan sebelum ini untuk mengenal pasti apa kekuatan mereka, khususnya dalam pukulan sudut penalti", jelas jurulatih Melaka, Azrul Effendy Bistamam.

Selaku juara, Melaka membawa pulang trofi kejuaraan di samping wang tunai RM10,000.

Bagi aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, Terengganu bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas Kuala Lumpur hasil jaringan Mohd Shahrun Nabil Abdullah, Mohamad Shazwi Ramli serta Syarman Mat Tee.

Kategori wanita pula menyaksikan Selangor kembali merampas kejuaraan selepas mengatasi penyandang gelaran, Kuala Lumpur, 1-0.

Jaringan tunggal perlawanan terhasil pada minit ke-11 menerusi Nur Farah Hanis Azharuddin, sekali gus menyaksikan Selangor menebus kekecewaan edisi tahun lalu.