Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin, memberi jaminan untuk bertanggungjawab sekiranya ada dalam kalangan pemainnya dijangkiti wabak COVID-19 dalam tempoh Piala Razak dilangsungkan.

Ketika ini, skuad KLHA sedang giat menjalani persediaan rapi serta pemilihan pemain dalam usaha memberi saingan sengit bermula Jumaat depan.

"Kami perlu menggugurkan beberapa pemain yang tercedera atau pun daripada Sukan Malaysia (Sukma) dalam kalangan 32 tonggak yang sedang menjalani pemilihan.

"Saya mahu bintang handalan kami menang, sebab itu saya bersedia mengambil risiko.

"Kalau apa-apa terjadi, kami akan bayar gaji mereka selama 14 hari jika mereka terpaksa dikuarantin," katanya dalam sidang media di ibu kota, hari ini.

Selain itu, Megat D Shahriman turut memberi bayangan pasukannya akan diperkuatkan dengan empat khidmat pemain kebangsaan.

"Kami mungkin mengadunkan gandingan bekas pemain kebangsaan dengan pemain-pemain Sukma, ini terpulang kepada formula jurulatih."