Piala Razak: Madzli minta KHM kaji semula syarat penyertaan

Oleh Penulis Jemputan 26 Oktober 2018 319
Piala Razak: Madzli minta KHM kaji semula syarat penyertaan
Jurulatih skuad hoki Negeri Sembilan, Madzli Ikmar Mohd Noor, meminta Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengkaji semula peraturan menyertai Piala Razak tahun depan selepas tiga pasukan menarik diri sehari sebelum saingan bermula.

Pelaburan ribuan ringgit lebur begitu saja, itu situasi Negeri Sembilan selepas menarik diri daripada saingan Piala Razak 2018 kerana mendaftarkan pemain kelahiran dari negeri lain.

Apa yang mengecewakan, 13 pemain yang lahir dari negeri lain sudah lama menetap di Negeri Sembilan, malah menyarung jersi skuad Jang sejak sekolah rendah.

"Separuh daripada pasukan yang bersaing dalam Piala Razak merupakan antara barisan pemain yang tampil dalam Sukan Malaysia (Sukma) serta beberapa pemain pengalaman yang melengkapkan pasukan," kata Madzli.

"Kami memiliki peluang untuk mencipta sesuatu kali ini tetapi selepas menarik diri, tiada apa yang mampu dilakukan."

Ketiadaan Negeri Sembilan dan Perlis dalam Divisyen 1 menyaksikan enam pasukan meneruskan cabaran dengan format round robin.

Perak yang dibarisi ramai bekas pemain kebangsaan akan turun selaku pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraan.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen