Skuad hoki Terengganu diketuai Fitri Saari terpaksa menunggu hingga aksi terakhir peringkat round robin untuk layak ke final Divisyen 1, Piala Razak selepas seri 3-3 dengan Kuala Lumpur di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Terengganu turun sebagai pilihan untuk mengiringi Perak ke final, dengan skuad kendalian Chairil Anuar Abd Aziz itu menyerang sejak awal untuk mendahului 2-0 menerusi jaringan penyerang, Mohd Shazwi Rani, seawal minit kedua dan pukulan sudut penalti Muhd Amirul Mirza pada minit ke-13.

Kuala Lumpur merapatkan kedudukan menerusi penyerang, Mohd Ramadan Rosli, dua minit kemudian.

Selepas rehat, Terengganu selaku juara dua kali kembali melebarkan kedudukan menerusi penyerang, Mohd Akhimullah Anuar Esook, pada minit ke-38.

Namun, corak permainan kini melebihi Kuala lumpur yang melancarkan serangan bertali arus sebelum mencetak dua jaringan menerusi Nor Azrul Abd Rahman (m-41) dan Ramadan (m-51) untuk mengikat kedudukan.

Gol itu bermakna Terengganu perlu sekurang-kurangnya seri dalam aksi terakhir round robin menentang Melaka esok untuk layak ke final.

"Kami perlu mengawal permainan. Kuala Lumpur telah mempamerkan tekanan dan berjaya mencari gol penyamaan," kata Fitri.

"Kesilapan pengadil yang membenarkan Terengganu mendahului perlawanan ternyata melunturkan semangat pasukan kami. Tetapi kami telah berusaha untuk bangkit dalam separuh masa kedua dan mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri," kata pemain Kuala Lumpur, Baljit Singh.