Kekalahan 0-3 Terengganu kepada Perak menjadikan misi ke separuh akhir semakin sengit apabila Kuala Lumpur masih lagi berpeluang sekiranya mendapat keputusan positif dalam aksi berdepan Indonesia dalam saingan Kumpulan A, Kejohanan Hoki Wanita Piala Tun Abdul Razak.

Kemenangan ini meletakkan Perak kembali menduduki tangga kedua Kumpulan A dengan perbezaan jumlah gol.

Bagaimanapun, kemenangan itu masih lagi menjadikan persaingan sengit untuk ke separuh akhir sekiranya Kuala Lumpur pula menang dengan kelebihan gol dalam aksi terakhir berdepan Indonesia nanti.

Perak pada mulanya berjaya mendahului pada suku kedua perlawanan menerusi gol padang Liyana Aqilah Mohd Sepawi pada minit ke-28.

Terengganu dilihat gagal untuk kembali menguasai perlawanan sehingga memberi ruang kepada skuad kendalian Mohd Azlan Ahmad itu untuk terus menambah gol pada minit ke-49 menerusi Norbaini Hashim sebelum Amira Natasha Abu Hassim meledak gol ketiga selang 10 minit kemudian.

Azlan kini mengharapkan Indonesia mampu menghalang misi Kuala Lumpur untuk menyekat Perak ke separuh akhir.

"Saya amat bersyukur dengan kemenangan ini. Saya amat berterima kasih kepada pemain-pemain kerana memberikan persembahan yang terbaik," katanya.

"Ini merupakan satu kekalahan yang perlu kami terima. Kami akan cuba memperbaiki persembahan berdasarkan keputusan ini dalam perlawanan akan datang," kata jurulatih Terengganu, Harun Al-Rashid Samri.