Status Kejohanan Hoki Piala Razak 2019 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, bermula Jumaat ini menimbulkan persoalan adakah ia dapat diteruskan mengikut jadual ekoran jerebu yang kian membimbangkan.

Jerebu semakin buruk dengan indeks pencemaran udara (IPU) di Bukit Jalil kini menunjukkan angka melebihi 200.

Mengikut arahan dan nasihat yang dikeluarkan Institut Sukan Negara (ISN), sebarang aktiviti di luar dewan tidak boleh diadakan ketika ini.

Justeru, situasi itu pastinya membangkitkan persoalan apakah status Kejohanan Hoki Piala Razak yang sepatutnya diadakan Jumaat ini.

Setakat ini, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai status kejohanan berkenaan, sama ada ia dapat diteruskan atau ditangguhkan buat sementara waktu.

Pastinya perkembangan seperti itu tidak digemari Perak selaku juara bertahan apabila terpaksa berlatih dalam jerebu di Stadium Hoki 2, Bukit Jalil, dengan beberapa pemain juga dilihat menutup hidung untuk mengurangkan risiko.

Ikuti laporan selanjutnya dalam Nadi Arena jam 7.30 dan 11 malam ini.