Status pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja Buenos Aires 2018, menambahkan tekanan buat penyerang skuad hoki Terengganu, Mohd Akhimullah Anuar Esok, apabila hanya mampu menjaringkan satu gol dalam kejohanan Piala Tun Abdul Razak, sekali gus menggalas tugas penting berdepan Melaka, petang ini.

Akhimullah terlalu hebat di pentas Olimpik Remaja apabila meledak 22 gol untuk muncul penjaring terbanyak saingan hoki lima sepasukan ketika membantu Malaysia meraih pingat emas dengan mengalahkan India 4-2 dalam final.

Namun, situasinya berbeza dalam Piala Razak.

Pemain berusia 18 tahun itu bergelut untuk mencapai prestasi terbaik, malah terpaksa menunggu sehingga aksi keempat untuk menjaringkan gol pertama kejohanan.

Ternyata, penyerang Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu masih belum menyesuaikan diri dengan format 11 sepasukan berbanding lima sepasukan dalam Sukan Olimpik Remaja.

"Sewaktu di Buenos Aires, ruang itu lebih besar dan agak senang untuk saya mencari ruang untuk menjaringkan gol.

"Di sini agak berbeza memandangkan saya perlu masuk ke dalam kawasan D sebelum menjaringkan gol.

"Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan kembali rentak jaringan," kata Akhimullah.

Kudratnya ditagih untuk merobek pintu gol Melaka dalam memburu tiket final, petang ini.

Skuad kendalian Chairil Anuar Abd Aziz itu hanya perlu seri untuk mengiringi Perak ke final, Sabtu ini.